بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم. Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tugasan ini telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya oleh empat orang ahli kumpulan daripada unit PPISMP Sejarah 1 ambilan Jun 2020. Kami telah memilih topik Ekonomi Zaman Tradisional seperti yang terkandung di dalam kursus SJH1034 Sejarah Sosioekonomi Malaysia Sehingga 1970 sebagai topik yang akan dibincangkan dalam blog ini.
Berikut merupakan ahli kumpulan yang telah menjayakan blog ini:
Kerajaan awal di Asia Tenggara dapat dibahagikan kepada dua kerajaan utama iaitu kerajaan maritim dan kerajaan agraria. Bagi kerajaan maritim, kegiatan ekonomi yang dijalankan ialah berorientasikan kegiatan perdagangan serta kegiatan yang berkaitan dengan laut untuk kehidupan harian manusia. Hal ini selari dengan deifinisi maritim seperti yang termaktub di dalam Kamus Bahasa Melayu yang bermaksud sesuatu yang berkaitan perkapalan dan pelayaran. Kerajaan maritim berfungsi sebagai orang tengah yang memainkan peranan mengumpul barangan dari kawasan pedalaman serta pulau yang berhampiran untuk pasaran antarabangsa. Kerajaan yang mengamalkan ekonomi maritim menjadi tumpuan pedagang dari setiap pelusuk dunia khususnya pedagang India, Arab dan Eropah.
Kerajaan maritim sudah semestinya mempunyai banyak perbezaan dengan kerajaan agraria. Antara ciri bagi kerajaan maritim ialah :
Terletak di pesisiran pantai
Mempunyai pelabuhan entrepot
Menguasai ilmu pelayaran
Mahir membuat kapal
Mengamalkan sistem tukar barang
Contoh-contoh Kerajaan Maritim
Berdasarkan peta buih di atas, jelas menunjukkan bahawa terdapat banyak kerajaan maritim di Asia Tenggara termasuklah di Tanah Melayu iaitu Kerajaan Kedah. Penggunaan peta i-Think membantu para pelajar dalam mengenal pasti contoh-contoh bagi kerajaan maritim dengan jelas dan membantu dalam proses membuat nota.
Antara contoh utama kerajaan maritim ialah kerajaan Srivijaya. Kerajaan Srivijaya ini terletak di tenggara Sumatera iaitu di tebing Sungai Musi di Palembang. Kerajaan Srivijaya merupakan salah sebuah kerajaan maritim yang terawal dan terbesar. Kerajaan Srivijaya telah berkembang maju sehingga menjadi pusat perdagangan untuk barangan dari negara India, Asia Barat, China dan juga wilayah yang di bawah jajahan takluknya. Gambar rajah di bawah menunjukkan peta bagi kerajaan Srivijaya:
Peta bagi kerajaan Srivijaya
Selain itu, pelabuhan kerajaan Srivijaya merupakan pelabuhan yang sibuk dengan beratus-ratus buah sampan-kolek yang memuatkan tikar, nipah, kulit kura-kura, lilin lebah dan kayu wangi. Berdasarkan peta di atas, pelabuhan kerajaan Srivijaya terletak berhampiran dengan tempat pertembungan Laut China Selatan, Selat Melaka, dan Selat Sunda yang amat sesuai untuk persinggahan para pedagang. Kerajaan Srivijaya juga terletak di tengah-tengah kawasan perdagangan rempah di rantau Asia Tenggara. Keadaan ini menyebabkan kerajaan Srivijaya menjadi pusat pengumpulan rempah ratus dan hasil-hasil lain yang diperlukan oleh pedagang asing.
Berikut merupakan video ringkas mengenai kerajaan Srivijaya yang merupakan kerajaan maritim agung pada ketika itu:
Bagi kerajaan Kedah, kegiatan perdagangan meningkat adalah disebabkan oleh kemajuan penanaman padi di pamah lanar Kedah. Pelabuhannya adalah berbentuk entrepot yang yang menjalankan perdagangan barangan asing seperti barangan kaca Arab dan barang tembikar China. Pelabuhan ini juga mengumpulkan hasil-hasil laut dari pusat pemungutan kecil seperti di kawasan Larut di Perak. Lembah bujang yang terletak di Kedah merupakan satu pusat perdagangan yang terpenting di Asia Tenggara kerana kedudukannya yang strategik dan kemudahan untuk menyimpan barangan dan makanan.
Gambar menunjukkan Candi Lembah Bujang
Kerajaan Melaka juga merupakan sebuah kerajaan maritim. Pelabuhan Melaka terletak di persimpangan jalan laut dari India dan China. Pintu pelabuhannya adalah cukup dalam untuk membolehkan kapal besar masuk berlabuh menjalankan kegiatan perdagangan.
Antara ciri kerajaan Melaka ialah:
Mempunyai iklim yang nyaman
Mempunyai bekalan air tawar
Mempunyai banyak kemudahan
Fungsi kerajaan Melaka ialah:
Kerajaan Melaka sebagai pusat pelabuhan entreport
Pusat pemungutan utama bagi bunga cengkih dan buah pala
Kerajaan Johor juga merupakan salah satu daripada kerajaan maritim yang penting sejurus selepas kemerosotan kerajaan Melaka. Menjelang pertengahan abad ke-17, Johor telah muncul sebagai pelabuhan yang penting bagi pedagang asing. Johor telah berjaya menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara China, India mahupun Makasar.
Antara sebab pelabuhan Johor mendapat perhatian para pedagang:
Pelbagai barang dagangan
Cukai yang rendah
Kemudahan menyimpan barang
Kemudahan membaiki kapal
Barang dagangan dengan harga yang berpatutan
Peta buih sebab pelabuhan Johor mendapat perhatian para pedagang
Kerajaan Agraria ialah kerajaan yang berasaskan pertanian. Kerajaan ini terbentuk di kawasan pertanian yang subur seperti lembah sungai, kawasan pedalaman dan di lereng bukit. Perkembangannya berkait rapat dengan keluaran hasil pertanian kerana mempunyai teknologi pertanian.
Peta ini menunjukkan lokasi kerajaan Agraria
Kegiatan Ekonomi Kerajaan Agraria
Padi sawah di lembah sungai kerana bekalan air cukup.
Padi huma di tanah tinggi dan bukit dibuat teres dan relung kerana kekurangan air.
Tanaman sampingan seperti jagung, pisang dan sayur-sayuran.
Mengumpulkan hasil hutan seperti kayu gaharu, damar, buah-buahan.
Hasil rempah seperti cengkih, lada hitam.
Sarang burung diambil dari gua untuk perdagangan.
Menangkap ikan di sawah, sungai, paya.
Mendapat kulit kura-kura.
Menternak seperti lembu, kerbau, kambing, ayam.
Bermula dengan sara diri, kemudian terdapat lebihan hasil dijual kepada penduduk yang tidak melibatkan diri dalam pertanian seperti masyarakat bandar atau penduduk kerajaan maritim.
Peta Buih menunjukkan kegiatan ekonomi Kerajaan Agraria
Gambar menunjukkan masyarakat yang menjalani kegiatan pertanian
Peta minda menunjukkan kerajaan Agraria
Peta minda di atas menunjukkan bahawa kerajaan Agraria terdiri daripada kerajaan Angkor dan kerajaan Funan. Kerajaan Angkor merupakan kerajaan awal bagi kerajaan Agraria yang terkenal. Kerajaan Funan pula merupakan kerajaan Agraria yang kemudiannya berkembang menjadi kerajaan Maritim.
🔰 Kerajaan Angkor
Angkor Wat
Diasaskan pada abad ke-7 Masihi.
Pusat kerajaan terletak di hilir Sungai Mekong.
Sistem pemerintahan berasaskan sistem pemerintahan beraja :
Raja dibantu oleh kerabat diraja untuk menjalankan pentadbiran.
Raja mempunyai kuasa mutlak dan dianggap devaraja.
Mencapai zaman kegemilangan semasa pemerintahan Suryavarman II.
Kawasan pertanian utama di sekitar Tasik Tonle Sap
Tasik Tonle Sap ialah tasik yang dibina pada abad ke-10 Masihi.
Terletak di bahagian tengah Kemboja.
Merupakan sistem pengairan terpenting untuk kegiatan pertanian padi sawah.
Air disalurkan melalui empangan dan saliran.
Kawasan di sekitar tasik ini subur dan sesuai untuk penanaman padi.
Baray dibina untuk kemudahan pertanian.
Angkor Wat merupakan bukti kewujudan kerajaan Hindu-Buddha.
Menerima agama Hindu-Buddha sebagai ajaran utama.
Gambar menunjukkan baray yang digunakan untuk kemudahan pertanian
🔰 Kerajaan Funan
Kerajaan Funan - kerajaan terawal di Asia Tenggara
Diasaskan pada abad pertama Masihi.
Pusat kerajaan terletak di Vjadhapura.
Empangan, saliran dan takungan air dibina untuk mengairi kawasan pertanian terutama sawah padi.
Bekalan air diperoleh dari Sungai Mekong dan kawasa persisiran pantai.
Sungai Mekong merupakan jalan perhubungan perdagangan.
Pelabuhan utama ialah Oc-Eo (kemudiannya menjadi kerajaan Maritim kerana kedudukannya yang strategik.
Orang laut merupakan masyarakat yang mendiami di tepi pantai dan tebing sungai. Tom pires menggelarkan orang laut sebagai Celates atau Selatter manakala Prof O.W menggunakan istilah Gipsi kepada orang laut. Tempat asal bagi kelompok ini ialah gugusan Riau-Lingga, di selatan Selat Melaka.
Istilah Orang Laut secara umumnya merangkumi pelbagai jenis kelompok suku pribumi di selatan Semenanjung Malaysia, Singapura dan timur Pulau Sumatera, Indonesia. Jumlah sebenar suku-suku yang tergolong di dalam kaum Orang Laut tidak diketahui kerana tiada catatan sejarah lengkap mengenainya. Kebanyakan suku-suku Orang Laut yang pernah wujud suatu ketika dahulu kini tidak lagi wujud pada zaman sekarang. Golongan ini telah memeluk agama Islam dan berasimilasi dengan masyarakat Melayu melalui perkahwinan. Situasi ini boleh dilihat di Singapura dimana masyarakat Orang Laut di pulau tersebut telah 'lenyap' akibat proses asimilasi dengan orang Melayu. Pada ketika dahulu, orang laut memainkan peranan yang penting sehinggakan sesebuah kerajaan itu amat bergantung harap kepada orang laut. Rajah di bawah menunjukkan peta buih bagi peranan orang laut suatu ketika dahulu.
Berdasarkan rajah diatas, jelas menunjukkan bahawa orang laut amat memainkan peranan yang penting suatu ketika dahulu. Peta buih yang digunakan dalam menghuraikan peranan orang laut dalam rajah diatas amat membantu pelajar dalam mengingati isi dengan cepat dan mudah difahami. Bagi mengukuhkan lagi kefahaman tentang orang laut, pembaca dapat menonton video yang disediakan melalui pautan di bawah.
Orang Asli merupakan perkataan generik bahasa Melayu yang digunakan secara rasmi di Malaysia bagi merujuk kepada orang asal yang menduduki tanah Semenanjung Tanah Melayu sejak azali lagi. Secara rasmi, terdapat sekurang-kurangnya 18 suku dari etnik Orang Asli di Semenanjung Tanah Melayu, mereka dikategorikan kepada tiga (3) kumpulan utama berdasarkan genetik dan asal-usul:
Semang (atau Negrito), biasanya boleh diketemukan dalam lingkungan hingga ke bahagian utara semenanjung.
Senoi menetap di bahagian tengah semenanjung.
Proto Malay (atau Melayu Asli), menetap di wilayah selatan semenanjung.
Terdapat Muzium Orang Asli yang dibina bagi memberi penerangan dan pengetahuan umum tentang kewujudan dan kebudayaan Orang Asli di Malaysia. Misalnya Muzium Orang Asli Gombak, kira-kira 25 km ke utara Kuala Lumpur. Muzium Orang Asli yang lain juga boleh ditemukan beberapa tempat dalam Malaysia.
Kelompok ini di sepanjang persisiran pantai dan juga di pinggir hutan. Orang Asli menjalani hidup dengan mengutip hasil hutan yang memainkan peranan penting dalam perdagangan Asia. Sebelum Melaka diasaskan, Orang Asli telah mempunyai hubungan perdagangan dengan dunia luar. Pemerintah Melaka mendapati Orang Asli merupakan sumber tenaga yang penting untuk aktiviti perdagangan. Penegetahuan Orang Asli tentang kehidupan hutan, mengutip dan mengumpulkan hasil hutan, sangat penting untuk perdagangan antarabangsa. Parameswara iaitu pemerintah Melaka telah memperat hubungan dengan kelompok Orang Asli dengan membawa ketua-ketua mereka masuk dalam hieraki politik negeri Melaka dan juga melalui ikatan silaturrahim dengan keluarga diraja. Oleh itu dapat dibuktikan bahawa Orang Asli amat memainkan peranan yang penting dalam kelompok masyarakat pada ketika itu.
Rajah dibawah menunjukkan nota berkaitan peranan Orang Asli dalam bentuk peta buih.
Melalui peta buih diatas, sedikit sebanyak memudahkan pembaca untuk memahami apa itu peranan Orang Asli yang sebenarnya tanpa perlu membaca artikel yang terlalu panjang tetapi tidak mendapat sebarang input yang diperlukan.
Disediakan oleh : Nur Afdhila binti Abdul Razak
PERANAN PEMBESAR DAN SULTAN
Sebelum campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing. Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional seseorang raja berkongsi kuasa dan peranan dengan golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini sebenarnya mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat termasuk pembesar tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah yang tidak ada pada golongan pembesar.
Peranan pembesar:
1. Menjaga dan mengekalkan keamanan kawasan pentadbiran
Pada zaman ini, pembesar berempat akan diberi kawasan tadbiran. Pembesar ini bertanggungjawab menjaga kawasan yang diberi oleh sultan dan berusaha mengekalkan keamanan kawasan ini. Beliau juga bertanggungjawab menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia terhadap sultan.
2. Memastikan jentera pentadbiran negeri dijalankan dengan berkesan
Tugas seseorang pembesar adalah untuk membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Keadaan ini dapat dibuktikan malalui Kelantan di mana Sultan Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu Jemaah Menteri. Setiap pembesar bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, jentera pentadbiran negeri akan dapat dijalankan dengan berkesan kerana kerja pemerintahan telah dibahagikan kepada setiap pembesar dan bukan terkumpul dalam tangan seseorang raja atau sultan.
3. Mengerah tenaga tentera
Mengikut sistem serah dan kerah, rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan merupakan suatu kewajipan khasnya dalam menjaga keselamatan negeri, memperbaiki istana dan sebagainya tanpa menerima bayaran. Dari sini, pembesar akan menolong sultan untuk mengerah tenaga tentera ketika menghadapi ancaman dari luar atau dalam dan menyerahkannya kepada sultan. Sebahagian daripada tentera itu akan digunakan oleh para pembesar untuk menjaga kawasan pentadbirannya supaya keamanan dapat dikekalkan selalu.
4. Melaksanakan istiadat menjunjung duli
Mengikut Kamus Dewan, menjunjung duli bermaksud memberi khidmat kepada raja. Ini bermaksud, seseorang pembesar haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada raja. Contohnya, semasa sultan hendak berangkat daripada suatu tempat ke tempat lain, Temenggung akan duduk di hadapan gajah dan Laksamana pula akan duduk di belakang gajah. Ini merupakan sebahagian daripada istiadat menjunjung duli yang harus dilakukan oleh seseorang pembesar.
5. Menasihati sultan dalam segala hal
Para pembesar telah membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukakan pendapat baginda dan pembesar akan menasihati baginda sekiranya pendapat sultan mempunyai kelemahan. Cadangan juga akan dikemukakan oleh para pembesar terhadap sultan supaya suatu keputusan yang sempurna dapat dicapai dan diperolehi.