Tuesday, November 17, 2020

PERANAN PEMBESAR DAN SULTAN                   




Sebelum campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874, Negeri-negeri Melayu diperintah oleh Raja-raja Melayu. Sultan dan raja menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing.  Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional seseorang raja  berkongsi kuasa dan peranan dengan golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran Namun demikian, semua Raja-raja Melayu ini sebenarnya mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial sehingga campur tangan Inggeris pada tahun 1874.




Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak sultan tidak boleh dipersoal. Rakyat termasuk pembesar tidak boleh membantah perintah sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama. Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah yang tidak ada pada golongan pembesar.




Peranan pembesar: 

1. Menjaga dan mengekalkan keamanan kawasan pentadbiran

Pada zaman ini, pembesar berempat akan diberi kawasan tadbiran. Pembesar ini bertanggungjawab menjaga kawasan yang diberi oleh sultan dan berusaha mengekalkan keamanan kawasan ini. Beliau juga bertanggungjawab menasihati anak buahnya supaya sentiasa taat setia terhadap sultan.


2. Memastikan jentera pentadbiran negeri dijalankan dengan berkesan

Tugas seseorang pembesar adalah untuk membantu raja dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Keadaan ini dapat dibuktikan malalui Kelantan di mana Sultan Muhammad I telah melantik 7 orang pembesar untuk membantu baginda dalam pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar-pembesar ini akan membentuk satu Jemaah Menteri. Setiap pembesar bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara. Secara tidak langsung, jentera pentadbiran negeri akan dapat dijalankan dengan berkesan kerana kerja pemerintahan telah dibahagikan kepada setiap pembesar dan bukan terkumpul dalam tangan seseorang raja atau sultan.


3. Mengerah tenaga tentera

Mengikut sistem serah dan kerah, rakyat jelata bekerja untuk raja atau kerajaan merupakan suatu kewajipan khasnya dalam menjaga keselamatan negeri, memperbaiki istana dan sebagainya tanpa menerima bayaran. Dari sini, pembesar akan menolong sultan untuk mengerah tenaga tentera ketika menghadapi ancaman dari luar atau dalam dan menyerahkannya kepada sultan. Sebahagian daripada tentera itu akan digunakan oleh para pembesar untuk menjaga kawasan pentadbirannya supaya keamanan dapat dikekalkan selalu.


4. Melaksanakan istiadat menjunjung duli

Mengikut Kamus Dewan, menjunjung duli bermaksud memberi khidmat kepada raja. Ini bermaksud, seseorang pembesar haruslah sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada raja. Contohnya, semasa sultan hendak berangkat daripada suatu tempat ke tempat lain, Temenggung akan duduk di hadapan gajah dan Laksamana pula akan duduk di belakang gajah. Ini merupakan sebahagian daripada istiadat menjunjung duli yang harus dilakukan oleh seseorang pembesar.


5. Menasihati sultan dalam segala hal

Para pembesar telah membentuk Majlis Penasihat Sultan bagi membantu sultan dalam pentadbiran dan pemerintahan. Sebelum sesuatu keputusan dibuat, sultan akan mengemukakan pendapat baginda dan pembesar akan menasihati baginda sekiranya pendapat sultan mempunyai kelemahan. Cadangan juga akan dikemukakan oleh para pembesar terhadap sultan supaya suatu keputusan yang sempurna dapat dicapai dan diperolehi.





Disediakan oleh : Azmin bin Noordin





   







No comments:

Post a Comment